Rabu, 29 Ogos 2012

Jenis-Jenis terapi dan Peranan Guru Biasa sebagai Guru Pembimbing

PENGENALAN

Bimbingan dan kaunseling merupakan satu kaedah atau pendekatan yang digunakan untuk membimbing murid-murid dalam mendapatkan panduan atau jalan penyelesaian yang baik seandainya menghadapi masalah. Namun demikian, tidak semua sekolah rendah di negara ini disediakan dengan khidmat guru kaunseling. Apa pun bimbingan dalam pendidikan adalah sangat perlu diberi perhatian oleh semua pihak disesebuah sekolah sama ada pihak pentadbir,guru kaunseling serta guru biasa juga turut memainkan peranannya jua.

Bimbingan membawa erti memberi panduan atau nasihat kepada seseorang. Dalam konteks pendidikan bimbingan ini merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada murid-murid. Kaunseling pula, merupakan satu proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Kaunseling sebenarnya bukan sahaja bertujuan menolong klien menyrsuaikan diri dengan keadaan alam social di sekolah, tetapi turut menolong memahami kelebihan dan kelemahannya, potensi serta keupayaannya.

Kesimpulannya, di peringkat sekolah bimbingan dan kaunseling ini merupakan proses pertemuan secara bersemuka di antara guru bimbingan yang memainkan peranan sebagai guru kaunselor. Murid pula, dipanggil atai di istilahkna sebagai klien atau orang yang menghadapi masalah peribadi contohnya masalah dalam bidang akademik dengan tujuan membawa perubahan tingkah laku yang baik kepada murid tersebut. Perubahan ini juga seterusnya membawa kepada penyelesaian masalah yang dihadapinya.



JENIS-JENIS TERAPI DALAM BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Menurut Patterson dan Eisenberg (1983) menyatakan bahawa kaunseling sebagai satu proses pertemuan secara bersemuka di antara seorang kaunselor dengan kliennya yang akhirnya membawa perubahan kepada klien tersebut. Setiap individu mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk memperkembangkan diri mereka. Berdasarkan kepercayaan ini maka terapi dalam bimbingan dan kaunseling diwujudkan untuk meneroka perkembangan tersebut. Terapi dalam bimbingan dan kaunseling bagi sistem sekolah berdasarkan ciri-ciri seperti ia merupakan satu proses yang berterusan, bersifat pendidikan, berdasarkan tingkah laku dan konsep kendiri serta peranan klien yang mempunyai hak untuk memilih. Fokus utamanya berdasarkan prinsip-prinsip berikut iaitu :

      Harga diri individu adalah paling mutlak ;
      Setiap individu adalah unik;
      Sikap dan persepsi kendiri individu ialah asas dimana seorang individu bertindak;
      Individu-individu bekerja untuk meningkatkan konsep kendiri mereka;
      Individu-individu mempunyai kebolehan dalaman untuk belajar dan boleh dibantu untuk membuat keputusan ke arah proses arah kendiri agar serasi dengan persekitaran mereka.
      Individu-individu memerlukan proses bantuan bimbingan daripada peringkat perkembangan kanak-kanak kepada peringkat dewasa.

Harga diri individu adalah paling mutlak. Ini kerana, harga diri seseorang adalah sesuatu yang perlu dijaga dan dihormati. Murid perlu dilatih untuk menghargai diri mereka. Hal ini kerana, setiap individu adalah yang unik. Individu itu dikatakan unik dari segi baka, bakat, minat serta kebolehan yang ada. Sikap dan persepsi kendiri individu ialah asas dimana seorang individu itu bertindak. Ini disebabakan oleh sikap seseorang mampu mendorong mereka melahirkan pandangan yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Pandangan itu lahir mungkin disebabkan oleh persepsinya dalam berhadapan dengan masalah. Contohnya seorang murid menghadapi masalah ponteng kelas. Murid ini berpandangan masuk kelas merupakan satu keaadaan yang membosankan. Maka sikap serta persepsi yang tertanam di dalam pemikirannya itu telah membawa murid tersebut ke arah satu tindakan demikian. Dengan itu, sikap serta persepsi secara tidak langsung adalah asas kepada tindakan yang dibuatnya.

Individu mempunyai kebolehan dalaman untuk belajar dan bolh dibantu untuk membuat keputusan kea rah kendiri yang baik. Hal ini kerana setiap individu pada dasarnya mempunyai satu tingkahlaku yang baik dan unik yang boleh dibimbing, dibentuk atau digilap dengan pendekatan dan cara yang betul. Keupayaan membimbing murid-murid ini dengan gaya yang betul akan membuatkan mereka lebih serasi dengan persekitaran disekolah pada amnya.

Dalam pada itu juga, setiap individu memerlukan proses bantuan bimbingan daripada peringkat perkembangan kanak-kanak kepada peringkat dewasa. Ini kerana, dalam membentuk satu tingkahlaku yang baik dikalangan kanak-kanak iaitu murid sekolah mereka ini perlu diberi pendedahan berkaitan dengan tingkahlaku yang baik. Ini bertujuan supaya mereka dapat membanding beza di antara sikap yang positif dan negatif dalam kehidupan seharian. Pendedahan kepada masalah tingkahlaku juga secara tidak langsung membimbing mereka apabila dewasa kelak telah mampu mendisiplinkan diri dengan sikap yang baik ynag disenangi oleh semua orang.

Setiap individu mungkin memerlukan maklumat dan bantuan kendiri daripada seorang kaunselor yang cekap dan professional maka menjadi tugas seorang ahli kaunselor untuk menolong individu terbabit untuk menjadi manusia yang seimbang dan mencapai potensi mereka. Kesimpulannya, bimbingan dan kaunseling membolehkan seseorang individu mencapai potensinya dengan sepenuhnya. Jika dibimbing dengan baik maka setiap individu dapat mencapai potensi dirinya secara optimum. Untuk mencapai tujuan tersebut maka terapi dalam bimbingan kaunseling diwujudkan melalui jenis- jenis terapi berikut iaitu :


1.    Terapi Perkembangan
2.    Terapi Pencegahan
3.    Terapi Pencegahan
4.    Terapi Intervensi Krisis

1)   Terapi Perkembangan

Tujuan utama terapi ini diadakan ialah untuk membantu dan membimbing murid-murid untuk mencapai kejayaan dalam sistem sekolah. Oleh itu satu program telah dirangka untuk mencapai tahap perkembangan potensi individu secara menyeluruh. Antara kemahiran-kemahiran yang boleh dicapai melalui program terapi ini ialah melalui mod pengajaran bilik darjah,kaedah bimbingan secara kumpulan dan program atau projek sekolah seperti hari kerjaya,kursus motivasi serta seminar-seminar untuk mencapai kecemerlangan akademik. Hasil daripada kemahiran yang telah dicapai boleh dilihat melalui tiga bidang iaitu perkembangan kendiri/sosial, perkembangan pendidikan dan perkembangan kerjaya murid-murid.

Bimbingan terapi perkembangan ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti yang berusaha untuk memotivasikan individu supaya dapat membentuk personality dan konsep kendiri yang positif. Tujuannya adalah untuk membawa klien ke arah mencapai prestasi diri yang lebih baik. Contohnya, guru kaunseling melakukan satu aktiviti mengedarkan satu borang personaliti bagi untuk kenalpasti potensi diri serta bakat yang tersembunyi. Borang ini boleh diberi semasa sesi seminar mengenal personality diri. Secara tidak langsung klien atau murid tertarik untuk mengetahui ciri-ciri personality yang mereka ada, yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.

Guru bimbingan dan kaunseling boleh menggunakan pelbagai alat penilaian untuk mengukur pencapaian murid-murid yang terlibat dalam terapi perkembangan. Antaranya ialah seperti berikut :

      Hasil pembelajaran perkembangan yang berintegrasi dan berperingkat;
      Penilaian yang berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah;
      Resos-resos profesional;dan
      Pendidikan pos sekolah menengah dan bahan-bahan dan program-program yang berkaitan dengan kerjaya.

Hasil pembelajaran perkembangan yang  berperingkat. Melalui terapi perkembangan yang dibuat secara berperingkat ini guru kaunseling dapat melihat perubahan tingkahlaku yang dialami oleh kliennya itu. Seterusnya penilaian boleh dibuat berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Melalui pemerhatian di dalam bilik darjah guru kaunseling boleh bertanyakan guru kelas berkaitan dengan perkembangan perubahan tingkahlaku murid berkenaan sama ada baik atau pun sebaliknya. Selain daripada itu, guru kaunseling juga boleh merujuk kepada resos-resos profesional dengan bantuan teori yang bersesuaian.


2)   Terapi Pencegahan

Tujuan utama bimbingan terapi pencegahan ialah untuk mencegah murid-murid daripada menghadapi masalah penyesuaian. Bimbingan atau terapi pencegahan ini juga merujuk kepada penggunaan pendekatan untuk mencegah atau menyekat kemungkinan berlakunya aktiviti yang tidak diingini. Contohnya seperti aktiviti penyalahgunaan dadah, AIDS, kelakuan tidak bermoran dan sebagainya. Oleh itu kaunselor bimbingan akan melibatkan diri dalam satu program bimbingan dan kerjaya pencegahan komprehensif dengan menggunakan strategi –strategi berikut :

1.    Intervensi awal; dan
2.    Memberikan respon dengan serta-merta kepada murid-murid yang sedang menghadapi masalah atau krisis yang mengganggu pembelajaran mereka.

Intervensi awal atau lebih dikenali sebagai pemulihan awal. Bak kata pepatah cegah sebelum merebak. Guru kaunseling boleh mengadakan sesi kaunseling untuk mencegah masalah yang dihadapi oleh murid. Sebagai contoh segalanya bermula dengan proses pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Melalui cara ini guru kelas dapat mengenalpasti sebarang masalah yang dihadapi oleh murid di dalam kelas. Hanya guru kelas merupakan orang yang paling hamper dengan muridnya ketika berada di dalam kelas. Seandainya masalah sudah dapt dikenalpasti dengan cepat maka dengan itu intervensi awal boleh dilaksanakan. Secara tidak langsung juga dapat meberi satu respon dengan serta- merta kepada murid yang menghadapi masalah atau krisis diri.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kaunselor juga menggunakan strategi-strategi seperti menyediakan maklumat lengkap mengenai masalah-masalah yang dihadapi klien, bimbingan dan kaunseling individu dan kumpulan, konsultasi dengan guru-guru lain dan ibu bapa serta merekodmendasikan masalah klien kepada pakar-pakar lain dan ibu bapa. Alat penilaian yang digunakan oleh kaunselor dalam terapi pencegahan ialah penilaian individu, aktiviti sokongan pembelajaran yang dikordinasikan oleh murid-murid dan perancangan sistematik dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Bagi murid-murid yang menghadapi masalah akademik dan penyesuaian yang serius maka kaunselor perlu menggunakan terapi pemulihan untuk membantu mereka.


3)   Terapi Pemulihan

Terapi bimbingan pemulihan ialah satu integrasi strategi bimbingan dan kaunseling dengan aktiviti bilik darjah. Tujuan utama  adalah menggunakan teknik-teknik bimbingan dan kaunseling untuk membantu murid-murid yang mempunyai masalah dalam proses pendidikan. Selain itu, untuk mengurangkan masalah pendidikan antara murid-murid dan sekolah. Bimbingan penyediaan kemudahan juga boleh diketengahkan dengan merujuk kepada kes-kes penempatan dalam bidang kerjaya, penyelesaian masalah kemudahan yang berkaitan dengan bidang kurikulum dan kokurikulum.

Di antara beberapa aktiviti sokongan pendidikan oleh ahli-ahli kaunselor dalam proses terapi pemulihan ialah  merancang aktiviti-aktiviti kelab, menstrukturkan rancangan pengajaran untuk meningkatkan pencapaian murid dan pengajaran pemulihan yang biasanya  dijalankan sama ada masa sistem persekolahan ataupun di luar masa persekolahan.

Pengajaran pemulihan biasa digunakan dalam terapi bimbingan ini kerana ia berbeza dari pengajaran biasa.  Antara aspek-aspek penting dalam proses terapi pemulihan ialah :
      Membekalkan kemahiran belajar;
      Menyiasat dan menyemak kehadiran murid-murid ke sekolah;
      Meningkatkan ilmu kendiri;
      Membincang kemungkinan untuk pendidikan masa depan;dan
      Membincang profesion, kerjaya dan kehidupan bekerja.

Membekalkan kemahiran belajar kepada murid. Contohnya menyatakan kebaikan serta kelebihan kaedah belajar secara individu ataupun secara berkumpulan. Ini membantu murid mengetahui kecenderungan mereka untuk mempersiapkan diri apabila mengahadapi ujian mahupun peperiksaan. Seterusnya menyiasat dan menyemak kehadiran murid-murid ke sekolah. Dengan berbuat demikian, guru kaunseling dapat mengenalpasti mana-mana murid yang bermasalah untuk datang atau hadir ke sekolah.

Meningkatkan ilmu kendiri. Bantuan daripada guru kaunseling untuk membimbing murid meningkatkan ilmu kendiri yang beraitan dengan diri murid itu sendiri. Peningkatan ilmu kendiri di kalangan murid membantu mereka menerima baik buruk tingkahlaku yang telah sedia ada di samping berusaha untuk memupuk satu sikap yang baik dari semasa ke semasa dengan terapi yang ada.

Dalam membimbing murid-murid yang lemah dalam bidang akademik kaunselor mesti mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan doktor, ibubapa atau pakar-pakar pendidikan yang dapat menyumbang kepada penelesaian spesifik yang dihadapi oleh murid-murid. Sesunggunya kelemahan dan kekurangan ini dapat di atasi dengan cara yang baik seandainya semua orang di sekeliling bergabung bersatu hati dan peka dengan perkembangan perubahan tingkalaku anak masing-masing.


4)   Terapi Intervensi Krisis

Terapi ini diadakan untuk membantu kaunselor menghadapi serta mengendalikan situasi-situasi kritikal atau kejadian-kejadian yang berlaku dalam kehidupan klien-kliennya. Sebuah krisis didefinisikan sebagai datu situasi atau kejadian di mana seorang individu rasa tertekan atau mempunyai masalah menyesuaikan diri dalam sesuatu situasi. Sebuah krisis mungkin disebabkan oleh kejadian seperti kamatian ahli keluarga,kehilangan pekerjaan atau terputusnya hubungan persahabatan. Pada masa inilah pelbagai perasaan akan dialami dan respon yang berbeza terhadap sesuatu krisis.

Bimbingan krisis  adalah satu pendekatan bimbingan yang merujuk kepada kes-kes kritikal. Contohnya adalah seperti bertumbuk dengan tujuan untuk mencederakan seseorang, percubaan membunuh orang atau diri sendiri, mengalami masalah mental atau terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tujuan utama terapi kaunseling krisis ini ialah :

      Untuk mengurangkan stres/ketegangan dan kekecewaan di sekolah
      Untuk meningkatkan keyakinan mengenai kemahiran dan kebolehan di tempat kerja
      Menstabilkan emosi
      Meningkatkan produktiviti
      Mengurangkan kebimbangan dan tingkah laku yang tidak di ingini.
      Mengurangkan dan mengikis sikap dan perasaan negatif
      Mengurangkan penderitaan emosi disebabkan krisis

Kebanyakan guru bimbingan dan kaunseling mendapati bahawa murid-murid yang mengalami krisis mental menunjukkan ciri-ciri seperti tidak boleh menyebut perkataan dengan tepat, tidak boleh menyusun perkataan untuk membina ayat,membaca dengan kadar lambat,tidak boleh membaca langsung dan penumpuan terhadap pengajaran guru yang singkat.

Justeru itu para kaunselor telah menyediakan sembilan langkah untuk yang boleh digunakan dalam terapi intervensi krisis iaitu :

1.    Pendidikan
Kaunselor akan memberikan maklumat,aktiviti dan struktur yang akan membantu individu memulih dan bergerak daripada krisis.

2.    Pemerhatian dan Kesedaran
Kaunselor akan meningkatkan pemerhatian dan kesedaran terhadap individu dan menggalakkan pemulihan melalui pilihan yang diberi kepada individu tersebut.

3.    Menggunakan Potensi Individu
Kaunselor akan membimbing murid-murid untuk memahami potensi individu bagi menghadapi krisis bagi pertumbuhan kendiri serta member peluang kepada mereka untuk menemui potensi kendiri tertinggi.

4.    Memahami Masalah
Kaunselor akan membantu klien-klien untuk memahami cara-cara yang paling penting dalam menyelesaikan masalah peribadi dengan resos-resos dan kebolehan yang ada semasa sesuatu krisis berlaku.

5.    Mewujudkan Struktur yang Berkaitan
Kaunselor akan membantu individu menjadi aktif dalam cara-cara untuk menamatkan sesuatu krisis.

6.    Mencabar Kepercayaan yang Tidak Rasional
Kaunselor akan meyakinkan murid-murid untuk menerima kenyataan bahawa krisis ialah masa kesedihan dan caramereka respon adalah penting. Murid-murid akan merasa yakin jika mereka dapat mengatasi masalah.

7.    Menghapuskan Tingkah Laku Adiktif
Kaunselor boleh menasihati klien tidak terjebak gejala negatif kerana setengah dari sesuatu krisis adalah hasil daripada (adiksi)

8.    Mencipta Penggantungan Sementara
Kaunselor boleh membimbing individu-individu untuk membina hubungan ringkas yang sementara kerana penggantungan sihat ini boleh menolong mereka berkongsi kesedihan dan kesakitan mereka.

9.    Menghadapi Ketakutan dan Kesakitan Emosi
Kaunselor akan mengingatkan klien bahawa menghadapi kesakitan emosi adalah respon yang paling sihat semasa krisis berlaku.



PERANAN GURU BIASA SEBAGAI GURU PEMBIMBING.

Tidak semua sekolah mempunyai guru bimbingan dan kaunseling,maka guru biasa juga boleh memainkan peranan sebagai seorang guru bimbingan dan kaunseling bagi menghindari masalah-masalah dalam sistem persekolahan. Ini kerana guru biasa lebih mengenali murid-murid mereka dalam bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan tingkahlaku murid-murid mereka.

Antara peranan guru biasa sebagai guru bimbingan dan kaunseling ialah meneliti kedua-dua keperluan intelektual dan psikososial  murid-murid, memahami pencapaian akademik murid-murid yang rendah  berkait dengan konsep kendiri yang rendah, bekerja dengan kumpulan klien spesifik dan mengendalikan sesi-sesi konsultasi dengan ibu bapa serta mengendalikan penyelidikan dalam sekolah untuk menyediakan keperluan dan profil murid-murid. Guru biasa juga perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemhiran-kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling seupaya mereka dapat membantu murid-murid yang menghadapi masalah “vandalism” atau mereka yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam bilik darjah.

Dalam proses bimbingan dan kaunseling, guru-guru biasa perlu menjalankan prosedur tertentu untuk membimbing murid iaitu :

1. Mengenalpasti murid-murid yang bermasalah atau menunjukkan kendiri yang rendah
2. Mengumpul data-data mengenai murid-murid yang bermasalah yang berkait dengan kebolehan dan pengalaman lampau
3. Memberikan sesi kaunseling kepada murid-murid tersebut sama ada secara individu atau berkumpulan.

Selain itu, guru biasa juga perlu menggunakan strategi bimbingan dan kaunseling untuk memberi bimbingan dan kaunseling kepada murid iaitu membantu murid-murid mengenali kekuatan mereka dan  menjadi lebih terbuka serta berkeyakinan, membantu murid-murid lebih jelas mengenai diri mereka  sebagai seorang individu, membantu murid-murid lebih kuat dan yakin, membantu murid-murid mengatasi isu-isu seperti stres,buli,kebimbangan menghadapi peperiksaan, persahabatan, masalah keluarga dan sebagainya serta membantu murid-murid memilih mata pelajaran yang ingin  mereka belajar.

Kesimpulannya, peranan guru biasa sebagai guru pembimbing ini ialah berusaha untuk menolong murid membuat penyesuaian dalam peribadi, sosial, emosi, akademik, perkembangan mental dan akhlak. Selain itu, menolong murid menyediakan perancangan persekolahan bersesuaian dengan kebolehan, minat, dan perkembangan masing-masing. Guru ini juga turut memberi kesedaran kepada murid di peringkat awal lagi tentang kepentingan pelajaran di dalam kehidupan untuk menjadi seorang insan yang berjaya dalam kehidupan. Bahkan bukan itu sahaja, menolong murid dalam proses menyelesaikan masalah pembelajaran di samping membimbing membuat keputusan yang rasional. Akhirnya guru biasa juga menolong murid dalam membentuk tabiat yang baik, menghargai diri di samping berusaha untuk bekerjasama dengan ibu bapa dalam mengawasi perkembangan murid dari semasa ke semasa.



Disediakan oleh :
Halimatusaadiah bt Ab Wahab
 DPLI MU/RBT







Tiada ulasan:

Catat Ulasan