Rabu, 29 Ogos 2012

KEMAHIRAN ASAS BIMBINGAN DAN KAUNSELING, BIMBINGAN INDIVIDU DAN BIMBINGAN KELOMPOK


1.0         PENGENALAN

Bimbingan Kaunseling ini pada asasnya mempunyai pelbagai takrifan yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi. Setiap takrifan ini, dihuraikan oleh ahli-ahli psikologi ini mengikut falsafah dan aliran pemahaman masing-masing. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997:159), menjelaskan maksud bimbingan ialah perbuatan membimbing, memberi petunjuk atau memimpin seseorang dan orang yang terlibat dalam perbuatan membimbing dikenali sebagai pembimbing. Selain itu Othman Mohamed (2000) juga mendefinisikan bimbingan sebagai sebahagian daripada proses menolong. Proses ini meliputi bagaimana sesuatu arahan diberikan secara teratur dan tersusun serta mengandungi maklumat yang sesuai untuk menentukan pencapaian matlamat oleh orang yang menerima. Biasanya ia merujuk kepada menentukan kebajikan dan perkembangan dirinya.

Bantuan yang diberikan oleh seseorang sama ada lelaki atau perempuan yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seseorang individu setiap peringkat usia untuk menolongnya mengarahkan kegiatan hidupnya sendiri; membuat pilihan hidupnya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri. Takrifan bimbingan ini merujuk kepada pendapat Crow dan Crow (1960). Manakala menurut Shertzer dan Stone (1971), menyatakan bimbingan merupakan proses menolong individu memahami diri sendiri serta alam sekelilingnya. Proses ini sentiasa berterusan dan memerlukan jangka masa yang lama untuk melihat hasilnya. Huraian secara terperinci mengenai takrifan ini diperjelaskan oleh Tang Chee Yee (1991:1). Maksud menolong bermakna bantu, assisting dan availing seseorang individu dalam menyelesaikan hal yang berkaitan dengan perkembangan dan kepuasan kehidupan peribadi dan sosial. Perkataan memahami diri pula ialah bagaimana seseorang individu itu memahami identiti diri, kelebihan dan kekurangan yang dimiliki. Seterusnya alam sekeliling pula ialah merujuk kepada keadaan yang berlaku di sekitarnya dan peluang-peluang yang harus direbut.
Takrifan kaunseling sering ditafsirkan sebagai satu bentuk nasihat. Namun ia bukan hanya nasihat semata-mata disebabkan wujunya unsur nasihat ini. Pada asasnya kaunseling berasal dari perkataan Inggeris iaitu counseling yang bermaksud menolong. Namun begitu terdapat pelbagai takrifan lain berkenaan dengan maksud kaunseling ini antaranya ialah Blocher (1974) merumuskan bahawa kaunseling ialah satu proses menolong individu mengenali diri sendiri dan cara berinteraksi dengan keadaan persekitarannya. Pada masa sama individu ini dapat memperkembangkan potensi diri untuk masa depannya. Kaunseling menurut takrifan Shertzer dan Stone (1968), membawa maksud proses interaksi seseorang individu dalam memahami diri sendiri serta keadaan sekelilingnya. Proses ini melibatkan penetapan matlamat dan nilai hidup yang dibentuk dan dijelaskan sehingga dapat mecapai keputusan yang wajar untuk masa depannya.

Kaunseling juga ialah satu keadaan dimana proses untuk membantu individu yang bermasalah, Krumboltz dan Thoreson (1976). Selain itu, ia juga merujuk kepada bagaimana membantu seseorang individu untuk menyelesaikan masalah personal, perasaan dan cara untuk membuat keputusan. Seterusnya kaunseling juga merupakan satu proses pertemuan secara interaktif iaitu bersemuka antara kaunselor dan klien sehingga berlaku perubahan pada diri klien tersebut, Patterson dan Eisenberg (1983). Oleh itu, maksud kaunseling dapat disimpulkan sebagai suatu proses bantuan secara profesional untuk bimbingan klien memahami dirinya dan suasana sekelilingnya. Bimbingan ini dilakukan sehingga kelihatan perubahan yang positif kepada klien tersebut.


2.0         KEMAHIRAN ASAS BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Kemahiran Asas Bimbingan dan Kaunseling ialah cara-cara seseorang kaunselor menangani atau berhadapan dengan kliennya melalui teknik atau kemahiran tertentu. Kemahiran asas bimbingan dan kaunseling merupakan nadi perhubungan menolong di antara kaunselor dan klien. Sekiranya tiada kemahiran asas dalam bimbingan kaunseling, sesuatu proses kaunseling sukar berjalan dengan lancar. Bagi mencapai perkhidmatan kaunseling yang cemerlang, seseorang kaunselor itu harus memahirkan dirinya dengan menguasai pelbagai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan kaunseling. Kemahiran ini amat penting ketika menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien. Kaunselor yang bijak dapat mengawal situasi sekiranya klien itu berada di bawah tekanan emosi dan psikologi.

Kemahiran asas bimbingan dan kaunseling ini mengutamakan komunikasi yang berlaku di antara klien dan kaunselor. Komunikasi ini dikenali sebagai komunikasi interpersonal. Komunikasi ini melibatkan kebolehan seseorang individu berinteraksi secara bersemuka secara terus dengan individu atau kumpulan atau persekitaran yang spesifik tanpa melibatkan sebarang perantaraan. Kemahiran ini penting bagi seseorang kaunselor itu kerana ia berperanan mendengar masalah dari klien dan mendapatkan maklumat melalui percakapan di antara klien. Oleh itu, hasilnya melalui komunikasi interpersonal ini sesuatu konflik yang dihadapi klien dapat diselesaikan. Komunikasi interpersonal berbeza dengan komunikasi verbal iaitu lisan dan secara bertulis manakala bukan verbal ialah ekspresi muka, pergerakan badan dalam kawalan, warna dan bunyi. Selain itu, komunikasi interpersonal juga melibatkan eye contact, pergerakan badan dan tangan. Kemampuan kaunselor mengendalikan sesuatu masalah klien tidak terhad kepada sesuatu situasi malah situasi yang berlainan menjadikan klien ini berasa lebih tenang dan selesa.

Keberkesanan pengendalian sesi bimbingan dan kaunseling memerlukan kemahiran komunikasi interpersonal yang tinggi oleh seseorang kaunselor. Kemahiran-kemahiran ini meliputi corak perbualan positif secara lisan dan bukan lisan di antara kaunselor dan klien. Seseorang kaunselor perlu bijak memainkan peranan dalam memulakan perbualan agar klien berasa tidak selesa. Permulaan yang baik akan mencorakkan perbualan yang positif dan merangsang klien untuk terus bercakap. Begitu juga dengan kemahiran secara bukan lisan, dimana seseorang kaunselor perlu menunjukkan keprihatinan di atas masalah yang dihadapi klien. Kemahiran yang kedua pula ialah kaunselor perlu mendengar secara aktif iaitu menunjukkan dengan penuh minat setiap pertuturan klien. Seterusnya kemahiran seseorang kaunselor memberikan semangat dan motivasi kepada klien, kaunselor perlu bijak memberi kata-kata perangsang agar klien berusaha dan mampu menghadapi permasalahan. Kemahiran komunikasi interpersonal yang perlu lagi ada dalam diri kaunselor ialah membenarkan klien menceritakan setiap butir peribadi dan masalah yang dihadapi dalam keadaan bebas dan terbuka serta dilakukan secara rela.

Pada masa yang sama klien akan membuat penilaian tahap keberkesanan kemahiran komunikasi interpersonal seseorang kaunselor itu menghadapi dan menangani sesi kaunseling. Beberapa aspek yang dilihat oleh seseorang klien ialah pengendalian sesuatu sesi kaunseling sama ada prosesnya berjalan secara cepat atau sangat perlahan. Hal ini menarik minat klien untuk menjalani sesi kaunseling apabila prosesnya berlangsung dengan cepat. Selain itu bahasa, nada dan pic yang digunakan kaunselor juga merupakan aspek yang diambil kira oleh klien. Seseorang kaunselor yang mahir komunikasi interpersonal akan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan dituturkan dalam nada yang rendah dan menggunakan pic yang bersesuaian. Klien akan berasa tidak selesa dan takut apabila seseorang kaunselor bercakap dalam suara yang nyaring. Selain itu corak perbualan juga diperhatikan oleh klien, sama ada corak perbualan ini dalam bentuk formal atau bukan formal. Seseorang klien lebih berasa santai apabila corak perbualan yang digunakan oleh kaunselor adalah bukan formal. Klien mudah berasa terganggu dan maklumat yang disampaikan juga tersekat-sekat sekiranya corak perbualan dalam bentuk formal.
Selain itu, klien juga melihat cara seseorang kaunselor itu memberi peluang klien bercakap mengelak daripada mengganggunya ketika sedang bercakap. Klien turut mengambil kira bagaimana cara seseorang kaunselor mengelakkan sebarang salah faham yang timbul. Hal ini merujuk kepada situasi dimana sesi kaunseling yang dijalankan melibatkan jantina yang berlainan. Bagi kaunselor yang bijak menangani situasi ini, pemilihan tempat sesi kaunseling akan diambil kira bagi mengelakkan timbulnya isu. Begitu juga cara seseorang kaunselor menggunakan bahasa badan yang sesuai juga turut diambil kira oleh klien. Klien melihat bagaimana seseorang kaunselor itu memberikan perhatian melalui bahasa badan yang ditunjukkan. Pemilihan tempat juga merupakan aspek yang diberi penekanan oleh klien untuk menjalani sesi kaunseling, seseorang kaunselor harus bijak memilih lokasi dan masa yang bersesuaian untuk mengadakan sesi perbincangan agar tidak wujud sebarang gangguan yang boleh mengganggu proses kelancaran bimbingan dan kaunseling kelak. Seseorang kaunselor itu haruslah berusaha untuk cuba mewujudkan suasana yang selesa kepada klien.

Seseorang kaunselor dinilai melalui tahap penguasaan kemahiran komunikasi interpersonal yang dimilikinya.  Tahap ini yang akan menentukan kejayaan sesuatu sesi bimbingan dan kaunseling yang diadakan. Kemahiran-kemahiran ini ialah membina perhubungan, memberikan perhatian, mendengar secara aktif, menggunakan bahasa yang sesuai, memahami pergerakan badan dan memberi maklum balas yang sesuai.

Kemahiran kedua ialah kemahiran membina hubungan. Kemahiran ini penting kerana kaunselor dapat memastikan klien sentiasa berterusan memberi kerjasama dengan lebih yakin dan proses kaunseling lebih lancar. Kemahiran ini dapat mendorong klien agar berasa lebih tenang dan memberi persepsi yang positif untuk pertama kali. Kaunselor perlu bijak mewujudkan suasana yang lebih selesa dengan memastikan kesesuaian peralatan yang digunakan seperti kerusi dan meja. Suasana terapeutik diwujudkan iaitu suasana aman dan tenang, menyediakan jarak ruang komunikasi yang sesuai mengikut peringkat umur, jantina, budaya, latar belakang, agama dan lain-lain.

Kemahiran memberikan perhatian juga perlu dikuasai oleh kaunselor untuk menyemai kebolehan dan merasai masalah yang timbul melalui perspektif klien. Kaunselor memberikan perhatian kepada klien melalui sifat peramah yang dipamerkan dan senyuman yang dilontarkan. Sifat ini akan mewujudkan suasana mesra dan tumpuan perhatian serta menunjukkan perasaan autentik untuk kebaikan orang lain. Sikap peramah kaunselor dapat membantu mencapai komunikasi dengan semua respon klien secara empati, mewujudkan kesesuaian untuk berkongsi pengalaman dan perasaan klien, dan dapat membuat penilaian pendapat dan perasaan orang lain. Selain itu seseorang kaunselor itu perlu memberi perhatian secara jelas dan spesifik dan mengambil masa untuk membuat refleksi mengenai masalah klien. Perhatian ini juga difokuskan kepada tindakan, perasaan yang dialami klien dan sikap klien sendiri. Malah, bertolak ansur dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang memenuhi kehendak klien. Perhatian kaunselor juga boleh difokuskan kepada mendengar secara aktif perbincangan isu dan masalah yang dihadapi klien. . Seseorang kaunselor perlu menunjukkan keprihatinan kepada klien untuk menghilangkan rasa yang tidak selamat dan terancam yang dirasai oleh klien.

Kemahiran seterusnya ialah mendengar secara aktif, iaitu kesediaan seseorang kaunselor untuk mendengar permasalahan klien, tidak memberi perhatian kepada fikiran dan masalah orang lain dan cuba memahami maksud yang hendak disampaikan oleh klien. Kemahiran mendengar secara aktif memerlukan seseorang kaunselor memerhati mesej yang cuba disampaikan oleh klien berdasarkan komunikasi verbal dan tingkah laku bukan verbal. Contohnya apabila berdepan dengan klien yang sedang marah, kaunselor perlu memberi galakan untuk klien terus bercakap dan meluahkan perasaan marah tersebut.  Kemahiran ini diaplikasikan apabila kaunselor cuba menjalin hubungan dengan klien yang sedang marah ini dan kaunselor menyampaikan semula apa yang telah klien ceritakan. Pertanyaan  yang pelbagai dan menunjukkan minat yang mendalam dengan setiap butir penceritaan klien memerlukan proses mendengar secara aktif. Dalam proses ini juga, kaunselor perlu memberi respon, mempamerkan bahasa badan yang sesuai agar mesej ini dapat difahami klien bahawa kaunselor sedang mendengar masalahnya.

Penggunaan bahasa yang sesuai adalah salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang kaunselor. Kaunselor perlu memastikan setiap bahasa yang digunakan difahami oleh ibu bapa terutamanya dalam menyampaikan maklumat berkaiatan dengan pencapaian akademik, prestasi dan perancangan masa depan murid-murid. Bahasa yang disampaikan oleh kaunselor perlu konsisten atau kongruen dengan segala tindakan. Contohnya kaunselor menyatakan perasaan gembira dengan pencapaian kliennya, dia sepatutnya menunjukkan nada suara dan pergerakan badan menyampaikan mesej yang positif bahawa dia benar-benar gembira. Bahasa dan pergerakan badan yang sesuai amat penting bagi kaunselor dalam berkomunikasi dengan kliennya.

Seterusnya kemahiran memahami pergerakan badan, apabila seseorang klien boleh memahami pergerakan atau isyarat badan klien. Contohnya ekspresi muka dan postur tubuh. Hal ini boleh diperhatikan semasa sesi soal jawab antara kaunselor dan klien melalui cara pandangan, pandangan keliru, anggukan kepala, kesilapan dan penegasan suara. Selain itu, cara-cara komunikasi yang dipamerkan oleh klien juga melalui eye contact, ekspresi muka, orientasi, sentuhan jarak antara klien. Kaunselor perlu mempamerkan sikap yang tenang dan lebih kerap menggunakan eye contact  dengan klien. Sekiranya kaunselor mempamerkan muka yang serius dan bosan menyebabkan klien akan hilang minat untuk terus menyampaikan maklumat. Kaunselor tidak sepatutnya menunjukkan pergerakan badan yang tidak senonoh atau kurang bersopan seperti badan bongkok, mengeluarkan bunyi dengan jari tangan atau kaki, bermain-main dengan rambut. Keadaan ini akan memberikan pelbagai maklum balas kepada klien seperti mewujudkan suasana yang tidak selesa kerana klien mungkin beranggapan kaunselor tidak memberi perhatian atau mendengar secara sambil lewa.

Kemahiran yang terakhir ialah kemahiran memberikan maklum balas yang sesuai. Maklum balas ini diibaratkan sebagai cermin dalam proses komunikasi kerana pesanan oleh penghantar telah disampaikan kepada penerima. Selain itu ia juga merupakan satu keadaan penerima menghantar balik pesanan kepada penghantar melalui tanggapan yang dibuat. Maklum balas ini melibatkan komunikasi dua hala dan berlaku dengan pelbagai cara. Contohnya kaunselor mengulangi apa yang telah diperkatakan untuk mendapatkan maklum balas dari klien. Pada masa sama klien juga boleh mengemukakan soalan untuk mendapat maklum balas positif dari kaunselor. Maklum balas ini penting untuk kaunselor mendapatkan maklumat bagi tujuan memberikan elaborasi terhadap respon klien. Selain itu ia juga memberi cadangan atau pilihan mengenai persepsi klien terhadap diri sendiri dan situasi yang dihadapi sebagai bantuan kepada klien untuk memberi perhatian kepada perasaan sendiri. Tujuan maklum balas ini juga untuk membuat semakan persepsi dan ringkasan terhadap apa yang telah dipelopori oleh kaunselor dan klien.

Pelbagai kemahiran asas yang lain harus juga dikuasai oleh kaunselor seperti kemahiran memberi perhatian termasuklah pengamatan mengenai cara-cara menentukan kedudukan klien, relaks secara fizikal dan pemerhatian segala gerak geri klien, postur badan iaitu kaunselor duduk secara mencondongkan badan ke hadapan menghadap klien, intonasi suara yang melambangkan emosi seperti ketinggian atau kelembutan suara, kelajuan sesuatu sebutan perkataan. Kemahiran ini juga memerlukan kaunselor peka terhadap suara-suara separa bahasa seperti mengeluh, menangis, tersedu-sedu dan lain-lain. Perhatian ke atas ekspresi wajah, pandangan atau kontak mata, senyuman, pergerakan tangan dan kaki.

Kemahiran membalas lisan iaitu penstrukturan berkaitan tentang penjelasan peranan kaunselor atau guru pembimbing, peranan klien, penjelasan etika bimbingan dan kaunseling serta tempoh masa yang diambil ketika sesi kaunseling. Dorongan minimum ialah satu keadaan klien didorong untuk terus bercerita, kaunselor memberikan perhatian dan klien memahami penjelasan yang diberikan. Selain itu kemahiran mendengar juga penting untuk kaunselor atau guru pembimbing menguasai. Kemahiran ini termasuklah mendengar secara fizikal, psikologi dan melalui perasaan. Seterusnya ialah kemahiran menyoal mempunyai dua bentuk soalan yang boleh digunakan iaitu soalan tertutup yang memerlukan jawapan yang khusus, tepat dan tidak perlu penjelasan. Tujuannya untuk mendapat kepastian. Manakala bagi soalan terbuka pula perlukan jawapan yang lebih jelas dengan huraian yang panjang lebar untuk memberi peluang kepada klien meluahkan perasaan, penyampaian maklumat tanpa rasa defensif, perkara atau hal yang dibincangkan dapat diterokai dan dikembangkan serta lebih fokus dalam perbincangan.

Kemahiran merefleksi pula terdiri dari refleksi isi iaitu idea atau maklumat dinyatakan atau diulang semula secara ringkas oleh kaunselor atau guru bimbingan berdasarkan apa yang telah disampaikan oleh klien. Refleksi perasaan pula guru bimbingan atau kaunselor mengulang semula pernyataan perasaan dan sikap seperti yang dinyatakan oleh klien. Refleksi pengalaman berkaitan dengan guru bimbingan atau kaunselor mengamati sendiri gerak geri tubuh badan klien ketika menceritakan pengalaman atau luahan perasaan. Kemahiran yang berikutnya ialah kemahiran memparafrasa iaitu memberikan respon terhadap ayat pendek setelah mendengar isi atau pengamatan tingkah laku klien. Parafrasa sesuai digunakan sewaktu peringkat awal sesi kaunseling. Kemahiran membuat penjelasan pula ialah mendapatkan maklumat yang lebih mendalam secara jangkauan yang lebih jauh dari topik yang dibincangkan. Secara tidak langsung ianya akan membantu kaunselor mengetahui masalah dengan lebih dekat lagi.

Kemahiran asas mengkonfrontasi juga perlu untuk dikuasai ketika situasi sesuatu hubungan telah berjalan baik. Konfrontasi melibatkan keadaan seperti wujud percanggahan terhadap apa yang klien katakan dan lakukan sama ada pada masa tertentu atau pada masa lain. Percanggahan dengan tingkah laku dengan apa yang klien katakan. Pengalaman yang tidak sama dilalui oleh klien dengan kaunselor serta pernyataan dari kaunselor tentang tingkah laku klien yang tidak sesuai. Kemahiran konfrontasi ini dapat membantu klien melihat pandangan baru dengan melihat dirinya secara mendalam dan mengurangkan blind spot pada diri. Kemahiran menginterpretasi pula ialah mengenai satu proses yang aktif oleh guru bimbingan atau kaunselor memperjelaskan semula apa yang telah difahami melalui cerita dan pengalaman klien. Tujuan penceritaan semula ini ialah untuk memberi perspektif yang berlainan kepada klien dan dapat menimbulkan celik akal apabila ada penambahan yang dibuat berkenaan dengan perkara atau perasaan tersembunyi klien.

Kemahiran merumus diaplikasikan oleh guru bimbingan dengan cara membuat ulangan semula dan menjelaskan apa yang telah disampaikan oleh klien. Rumusan ini boleh dilakukan sama ada pada awal sesi atau akhir sesi rundingan. Rumusan meliputi rumusan kecil iaitu dilakukan beberapa kali bagi tujuan memberi ingatan kepada klien mengenai perbincangan, semakan persepsi, fokus perkara dan lain-lain. Bahasa yang disampaikan perlu dalam bahasa yang mudah difahami klien. Rumusan yang kedua ialah rumusan besar iaitu apabila ingin menamatkan sesuatu sesi, guru bimbingan atau kaunselor merumus kembali keseluruhan perkara yang dibincangkan. Rumusan ini perlu bagi klien mengingat kembali dan memastikan ketepatan maklumat mengikut fahaman guru bimbingan atau kaunselor. Rumusan ini penting untuk merangka tindakan selanjutnya dan rumusan besar ini dilakukan dalam satu sesi cuma sekali sahaja.


3.0         BIMBINGAN INDIVIDU DAN BIMBINGAN KELOMPOK

Bidang pendidikan memerlukan peranan guru untuk membimbing semua murid di bawah jagaannya secara efektif. Bimbingan penting dalam pendidikan kerana dapat membantu murid-murid yang menghadapi masalah ketika proses pembelajaran. Aspek bimbingan memerlukan guru mengenalpasti murid-murid yang bermasalah seperti lemah akademik dengan cara mencadangkan murid-murid ini mengikuti kelas pemulihan bagi meningkatkan tahap pencapaian kendiri dalam melaksanakan tugasan pembelajaran. Selain itu melalui perkhidmatan bimbingan ia juga membantu murid yang cemerlang, pandai, berbakat, lembap serta cacat. Proses bimbingan pendidikan meliputi tujuh aktiviti asas yang dilaksanakan iaitu memaklumkan, menasihati, kaunseling, menilai, membolehkan, mengesyorkan dan memberi maklum balas.

Kebiasaannya, murid-murid yang menjalani proses bimbingan mempunyai masalah seperti berkaitan dengan kandungan kurikulum matapelajaran yang dipelajari tidak berseuaian dengan tahap perkembangan kognitif murid tersebut, masalah teknik-teknik pengajaran guru yang tidak difahami dan tidak berkesan, motivasi, konsep kendiri dan perhubungan social yang rendah menyukarkan murid tersebut membina hubungan di antara guru atau rakan sebaya, masalah kemiskinan yang dihadapi murid berkenaan, krisis yang berkaitan dengan perkembangan mental seperti mudah lupa atau susah untuk mengingati konsep atau formula yang diajar guru di dalam kelas.

Justeru, para guru perlu bersedia menghadapi semua krisis yang berkaitan dengan akademik. Krisis ini memberi pengaruh yang kuat terhadap pembelajaran murid di dalam kelas. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan perlu kepada semua peringkat umur murid-murid termasuk juga perkembangan kerjaya mereka. Masalah-masalah lain yang turut dihadapi oleh murid-murid di sekolah dan perlu diberi perhatian ialah berkaitan dengan kejutan budaya, krisis keluarga, konflik persahabatan dan masalah dalam pembelajaran. Murid-murid yang menghadapi krisis kendiri dan kerjaya perlu diberi keutamaan dalam memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Terdapat dua jenis bimbingan dan kaunseling yang dilakukan iaitu bimbingan individu yang memberi fokus terhadap satu masalah spesifik atau bimbingan kelompok yang lebih menumpukan kepada isu-isu generik perkembangan sosial.

3.1                         Bimbingan Individu

Berdasarkan takrifan Shertzer dan Stone (1981), berpendapat bahawa kaunseling individu merupakan satu proses interaksi yang menyediakan hubungan bermakna mengenai diri dan persekitaran yang akan menghasilkan matlamat dan nilai untuk perubahan tingkah laku pada masa hadapan. Manakala menurut Blackma (1977) menakrifkan maksud kaunseling individu sebagai hubungan tolong-menolong yang unik apabila klien berpeluang belajar, menghayati, berfikir dan berubah mengikut apa yang difikirkan yang memberi faedah atau manfaat kepada dirinya.

Mengikut pendapat Holland dalam Gibson Mitchell (1981), seseorang individu akan mendapat kepuasan yang lebih apabila persekitaran kerja menepati minat mereka dan kerja yang bersesuaian dengan minat mereka. Oleh itu, penting bagi seseorang murid itu didedahkan dengan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan akademik mereka. Pada masa sama juga sebagai ingatan kepada klien kepentingan merancang kerjaya. Dari segi kaunseling peribadi pula, seseorang individu itu perlu bersikap aktif dalam kehidupan seharian bagi menyara kehidupannya sama ada dari aspek fizikal, mental dan psikologikal. Selain itu ia merupakan penerokaan pertumbuhan dan perkembangan diri klien, klien dibantu untuk memahami pelbagai masalah dan keperluan yang berkaitan.

Bimbingan individu melibatkan interaksi di antara dua individu iaitu kaunselor dan klien. Kaunselor bersama-sama klien cuba menyelesaikan konflik kendiri yang dihadapi, masalah perhubungan dengan orang lain, masalah psikologikal dan masalah akademik. Hubungan terapeutik perlu dibina dalam sesi bimbingan individu untuk memberi galakan kepada seseorang individu untuk mendalami kesusahan yang dialami. Pada masa sama, kaunselor perlu mengambil kira perkembangan keperluan khas murid seperti kematangan, bermasalah, kemurungan, kemiskinan dan sebagainya.

Masalah yang perlu diberi perhatian ketika mengendalikan sesi bimbingan individu ialah masalah penyesuaiann diri dari satu tahap ke tahap yang lain, masalah perhubungan dengan keluarga, kematian, kebimbangan, kemurungan, masalah pemakanan, penderaan seksual, identiti seksual, pemikiran untuk membunuh diri, masalah akademik dan imej dan masalah konsep kendiri. Konsep bimbingan individu menjadikan seseorang guru seharusnya berperanan menolong murid-murid menguasai diri sendiri dan bukan sekadar memberi nasihat. Bagi masalah murid yang mempunyai konsep kendiri yang rendah atau sangat pemalu, guru harus memberi perhatian dan bimbingan. Cara menangani murid yang mempunyai masalah ini ialah dengan menggalakkan murid memberi penerangan mengenai sesuatu situasi semasa dan perasaan yang mereka rasai. Murid mesti mengalami dan meluahkan semua emosi yang dirasai secara eksplisit serta murid harus menyauarakan secara eksplisit tentang keperluan-keperluan semasa dan masa depan mereka.



3.2         Bimbingan Kelompok

Persekitaran dan budaya banyak mempengaruhi corak kehidupan sesuatu kelompok. Pada asasnya kelompok membawa makna ahli-ahli yang berada dalam kumpulan kecil atau individu-individu yang dihimpunkan dalam satu kumpulan. Bagi Rogers (1967), kaunseling kelompok adalah merujuk kepada orientasi masalah dan proses memulihkan seseorang mengikut kehendak ramai atau keputusan secara umum. Kaunseling ini amat bersesuaian dengan individu yang mengalami kesukaran, tidak puas hati atau bermasalah dalam tingkahlakunya. Manakala menurut Gibson dan Mitchell (1981), kaunseling kelompok membawa maksud satu proses dalam membantu klien menyesuaikan diri dengan perkara-perkara seharian yang berkaitan perkembangan dan bagaimana memperbaiki perkembangan itu. Pembaikan ini meliputi aspek tingkahlaku, hubungan peribadi, mengambil perhatian berkaitan hal-hal jantina, nilai-nilai, sikap serta cara memilih kerjaya dan kemahiran yang dibina.

Matlamat utama bimbingan kelompok adalah murid dibantu untuk peningkatan akademik dan interaksi diwujudkan di kalangan individu secara positif dan berkesan. Pengurangan krisis dalam diri dan masalah-masalah disiplin yang timbul melalui program pencegahan peringkat awal yang diwujudkan. Suasana yang ceria dan seronok diwujudkan, budaya ilmu dijadikan sebahagian amalan harian murid-murid, memberi kesedaran bahawa setiap murid adalah insan yang bersifat sosial. Mereka perlu berganding bahu antara satu sama lain untuk membangunkan sesebuah Negara.

Bimbingan kelompok juga lebih mementingkan suara majoriti, namun demikian ada juga individu yang berani menyuarakan ideanya dan dipersetujui semua orang dalam kumpulan. Individu-individu dalam kumpulan kelompok ini lebih mempercayai rakan-rakannya daripada kaunselor (Cartwright dan Zander, 1953). Hal ini kerana adanya jalinan perhubungan yang baik di antara mereka. Pelaksanaan bimbingan kelompok di peringkat sekolah rendah memerlukan kematangan fikiran dalam menjana idea. Peringkat umur yang sesuai adalah dalam lingkungan antara 10 hingga 12 tahun atau murid yang berada di tahap dua. Pemilihan umur dalam lingkungan demikian adalah kerana kanak-kanak di peringkat umur ini dikira sudah matang. Malah dari segi aspek perkembangan emosi, murid-murid ini dianggap boleh memahami perasaan orang lain berdasarkan apa yang telah dilalui atau komunikasi di antara rakan serta masyarakat sekeliling. Hasil pemahaman ini, murid-murid ini akan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain.

Seseorang kaunselor perlu menguasai kemahiran profesional dengan lengkap untuk menangani sesi bimbingan kelompok. Bimbingan kelompok adalah satu bentuk kaunseling yang mencabar dan bersifat dinamik. Kumpulan bimbingan ini terdiri dari lima hingga lapan orang di bawah bimbingan guru kaunselor. Dalam bimbingan kelompok ini murid berkongsi masalah yang sama, berinteraksi dengan orang lain secara konsisten dan mengenali satu sama lain. Interaksi ini meliputi perbincangan masalah yang dihadapi dan berkongsi pengalaman. Melalui interaksi, perbincangan dan kemudahan atau bantuan dari kaunselor masalah dihadapi dapat diselesaikan oleh murid berkenaan. Bimbingan kelompok ini sangat berguna untuk pembelajaran kendiri dan memberi pendedahan kepada murid berkongsi cara-cara yang berlainan dan tindakan yang diambil oleh rakan-rakan dalam kumpulan.

Kebaikan yang didapati dalam bimbingan kelompok terhadap murid ialah memberi kekuatan dan bersifat lebih terbuka serta lebih kuat dan berkeyakinan, menolong memahami diri sendiri sebagai individu dan memperkembangkan tahap kesedaran emosi. Selain itu, kebaikan bimbingan kelompok ini juga dapat mengatasi manfaat yang diperolehi semasa sesi kaunseling individu seperti murid-murid dapat mendengar dan belajar daripada pengalaman dan idea rakan-rakan sebaya. Secara tidak langsung akan mewujudkan komitmen dan semangat kekitaan terhadap kumpulan hasil perkongsian pengalaman, masalah dan idea-idea yang hamper sama. Seterusnya, memberi manfaat kepada murid membantu diri dan rakan sebaya dengan pembinaan hubungan dalam kumpulan. Membentuk kefahaman mengenai individu-individu lain dalam kumpulan dan memahami serta membantu diri sendiri. Hal ini dilakukan melalui proses memberi dan menerima maklum balas juga merupakan faedah yang diperolehi hasil dari sesi bimbingan kelompok.

Bimbingan kelompok ini mendapat perhatian kerana di kalangan para guru pembimbing dan kaunselor kerana pelaksanaannya yang amat berkesan dalam memberi kesedaran kendiri, mewujudkan rasa  lebih bertanggungjawab bagi seseorang individu. Selain itu, melalui bimbingan kelompok ini, dapat meningkatkan keyakinan diri, menonjolkan potensi diri, malah dapat memajukan diri dan memberi bantuan kepada individu lain yang memerlukan. Bimbingan kelompok ini juga dapat menjadikan seseorang individu itu berjaya mengubah sikap atau tingkahlaku diri sendiri serta individu lain dengan mengaplikasikan kemahiran, keyakinan dan bakat yang ada pada dirinya sendiri. Justeru, bimbingan kelompok ini juga dilihat bagaimana sesuatu masalah ditonjolkan dan setiap individu yang berada dalam kelompok ini bekerjasama untuk cuba menyelesaikan masalah dengan perbincangan dan percambahan idea-idea kumpulan.

Bimbingan kelompok ini meliputi perkhidmatan bagaimana sesuatu aktiviti bimbingan kelompok dan tunjuk ajar dirancang dan diselaraskan. Tujuan aktiviti ini dirancang dan diselaraskan adalah untuk memperkembangkan dan menyuburkan konsep kendiri yang bersifat kognitif, afektif, psikososial, jasmani, vokasional dan pengetahuan dan penghayatan agama. Tujuan bimbingan kelompok ini disediakan untuk menyesuaikan murid-murid dengan masalah disiplin yang dihadapi, pelajaran dan sosial hasil dari cadangan murid-murid dari semasa ke semasa. Selain itu bimbingan kelompok juga dapat membantu murid-murid menghadapi peperiksaan seperti SRP, SPM dan STPM. Perkhidmatan ini adalah untuk membimbing murid-murid yang bermasalah mempelajari subjek-subjek tertentu yang diambil untuk peperiksaan.


4.0       KESIMPULAN

            Kemahiran asas bimbingan dan kaunseling, bimbingan individu dan bimbingan kelompok amat memainkan peranan dalam perkembangan dan pencapaian murid-murid dalam pembelajaran. Seseorang guru perlu mempunyai kemahiran-kemahiran ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kemahiran-kemahiran ini penting bagi mengesan masalah-masalah yang dihadapi murid dapat dicegah dan ditangani di peringkat awal. Sekiranya masalah-masalah sosial, akademik dan kendiri dibiarkan berterusan dan tiada bimbingan dan pemantauan oleh pihak sekolah, murid-murid ini akan hilang arah tujuan serta rosak masa depan. Malah, ia akan menjadi barah yang akan menyebabkan generasi muda kehilangan identiti, kecelaruan emosi, kurang keyakinan dan sentiasa hilang semangat, kebosanan dan lain-lain. Tidak mustahil situasi ini akan memberi kesan yang negatif kepada Negara apabila munculnya generasi pelapis yang tiada jati diri, malas berfikir, tidak berketrampilan, tiada daya kepimpinan, tidak bersemangat waja dan hilang semangat patriotik kelak.

RUJUKAN


Ramlah Hamzah & Lily Mastura Harun. (2006) Bimbingan dan Kaunseling. Kuala
Lumpur; Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Dr. Maznah Baba & Zainal Madon. (2003) Kaunseling Individu. Kuala
Lumpur; PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim & Halimatun Halaliah Mokhtar. (1995) Kaunseling  
Individu. Shah Alam; Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Sapora Sipon,  Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof. (2002) Kaunseling Individu.
Petaling Jaya; Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Wan Abdul Kader Wan Ahmad. (1994) Kaunseling Kelompok Berstruktur: Pengurangan
Kebimbangan Bersosial. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Ahmad. (2002) Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Rendah.
Kuala Lumpur; Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh. (2012) Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Psikologi.
Kuala Lumpur; Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Definisi Bimbingan dan Kaunseling (t.t & t.p). Dicapai pada 26 Ogos 2012, daripada
          http://kaunseling.wordpress.com/2008/08/27

Definisi Kaunseling Individu (t.t & t.p). Dicapai pada 26 Ogos 2012, daripada
          http://mas-himpunan1001.blogspot.com/2010/02

Kaunseling Individu & Kelompok (t.t & t.p). Dicapai pada 23 Ogos 2012, daripada
           http://bimbingandankaunselingipg.blogspot.com/2010/01

Kaunseling Individu (t.t & t.p). Dicapai pada 23 Ogos 2012, daripada
          http://kaunselingsktdh2.blogspot.com/2010/11

Kaunseling Kelompok (t.t & t.p). Dicapai pada 22 Ogos 2012, daripada
          http://www.oocities.org/asia/kaunseling4u/kaunselingkelompok.htm

Kaunseling Kelompok (t.t & t.p). Dicapai pada 21 Ogos 2012, daripada
         http://alhakam-kaunseling.blogspot.com/2009/06

Kemahiran Asas Kaunseling (t.t & t.p). Dicapai pada 21 Ogos 2012, daripada
         http://bimbingandankaunseling.blogspot.com/2010/06

Kemahiran Asas Komunikasi (t.t & t.p). Dicapai pada 15 Ogos 2012, daripada
         http://hanisnur.blogspot.com/2009/04

Kemahiran Kaunseling Individu (t.t & t.p). Dicapai pada 15 Ogos 2012, daripada
        http://www.scribd.com/doc/25535725

Penggunaan Kemahiran Asas Kaunseling (t.t & t.p). Dicapai pada 15 Ogos 2012,

Bimbingan dan Kaunseling (t.t & t.p). Dicapai pada 15 Ogos 2012, daripada
        http://bimbingandankaunselingipg.blogspot.com/

http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=44502


Disediakan oleh : Nor Fazlina Bt Yusof
DPLI (MURBT)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan